Tuesday, July 24, 2012

Andai Ini Ramadhan Terakhir Buatku...


Ya Allah Ya Tuhanku, jika benar ini Ramadhan ku yang terakhir,
Permudahkan untuk ku berzikir kepada Mu, tanpa ada rasa jemu,
Kurniakanlah bagi lidah ku agar basah setiap waktu
Berlagu syair rindu penuh merayu kepada Mu, Tuhan yang Satu.
Ya Allah ! Jika ini Ramadhan ku yang terakhir
Tentu solat yang ku kerjakan diawal waktu


Penuh khusyuk dan tawadduk, antara tubuh dan qalbu berdiri menyatu
Memperhambakan diri kepada Mu, YaAllah Rabbul Jalil.
Ya Allah ! Jika ini Ramadhan ku yang terakhir,


Ya Allah ! Jika ini Ramadhan kami yang terakhir
Jadikanlah ia Ramadhan yang paling manis penuh bererti dan berseri


Menerangi kegelapan hati kami untuk menuju jalan ridha’ dan kasih saying Mu
Agar indah kehidupan kami di barzah Mu sebelum sampai ke penghidupan penuh abadi
Namun teman, tiada insan yang telah mengetahui tentang Ramadhan ini,


Apakah yang terakhir kali buat kami.


Seandainya benar Ramadhan ini yang terakhir buatku teman
Maafkan kesalahan dan kesilapan yang pernah aku lakukan
Yang tersembunyi ataupun yang nyata di mata hati
Mohon kemaafan dari hujung rambut hingga hujung kaki
Aminnn !

Wednesday, July 4, 2012

Maaf Tanpa Syarat

Bismillahirahmanirahim...

Kredit buat : ABU SAIF @ www.saifulislam.com  ,56000 Kuala Lumpur

“Beruntunglah si anak yatim,” saya berbual dengan seorang apprentice yang berkunjung ke rumah.

“Kenapa pula untung ustaz?” beliau nampak sedikit terkejut dengan kenyataan saya.
“Masakan tidak beruntung, derita hidup tidak beribu dan bapa, terlalu kecil berbanding hukuman Allah ke atas anak durhaka!” saya menjawab.
Beliau diam seketika.
“Maksud ustaz, lebih beruntung hidup tanpa ibu bapa?” tanyanya.
“Anak-anak beruntung ada ibu bapa. Tetapi ibu bapa belum tentu beruntung dikurniakan anak-anak. Hari ini ramai anak benci dengan ibu bapa sendiri,” saya menyambung perbualan.

Memang benar.
Saya sudah jadi  mangli dengan fenomena anak durhaka. Anak yang memusuhi ibu bapa. Anak yang mengkritik ibu bapa. Anak yang menyakiti ibu bapa.

Tanda-tanda kiamat barangkali.
“Apabila seorang perempuan melahirkan tuannya sendiri” (Petikan Hadith ‘Jibril’)


BIBIT KEMARAHAN

Pengamatan saya, memperlihatkan bahawa anak-anak mula menimbulkan bibit benci atau sekurang-kurangnya tidak berpuas hati dengan ibu bapa sendiri, semasa mereka menempuh beberapa fasa kehidupan.
Seorang bapa, mungkin garangnya hingga tampar dan jentik menjadi makanan harian seorang anak. Di sepanjang masa, anak menerima hakikat bahawa bapanya adalah seorang yang garang. Lalu dia sentiasa berusaha untuk mengelak daripada ‘buat masalah’ dengan bapa yang garang itu.

Tetapi untuk membenci bapa, tidak terlintas di hati dan kepala.

Fasa pertama yang sering menimbulkan rasa benci serta marah anak kepada ibu bapa ialah apabila anak-anak mula meningkat usia, bersekolah dan memulakan tabiat berkunjung ke rumah kawan-kawan malah bermalam di sana. Pada usia inilah anak mula terdedah kepada contoh-contoh lain tentang bagaimana ‘sepatutnya’ seorang yang bergelar ibu juga bapa. Anak-anak mula membandingkan ibu bapanya sendiri, dengan ibu bapa kawan.
Rasa takut terhadap kegarangan bapa dan ibu, mula berubah menjadi benci.


Fasa kedua pula ialah apabila berumahtangga.
Dalam sesetengah keadaan, ada ibu atau bapa yang melebihkan anak mereka sendiri berbanding menantu. Tetapi ramai juga menantu yang ‘bertuah’ mendapat mertua yang baik-baik, namun mereka mula secara tidak sedar menyemai suatu fikiran yang jelek bahawa ibu bapaku tidak sebaik mertua.
Perbandingan-perbandingan inilah yang menyemai bibit benci dan rasa tidak puas hati si anak kepada ibu bapa mereka sendiri.


SEBURUK MANA PUN MEREKA

Seburuk mana pun ibu bapa kita, janganlah sekali-kali kita lupa pada kebaikan mereka semasa kita belum ada upaya menyimpan ingatan. Kebaikan yang mungkin tidak pernah dianggap kebaikan oleh sesiapa kerana berlangsungnya ia tanpa dikenang.

Kita menumpang duduk 9 bulan di perut seorang perempuan. Alam itu digelar Alam ‘Rahim’. Alam kasih sayang dan alam belas kasihan. Jika tiada sekelumit sayang di naluri seorang ibu, nescaya dibuang sahaja isi perut itu di tandas, di longkang, di tong sampah atau di mana sahaja.

Kerana secebis belas dan ihsan itulah, kita lahir ke dunia.
Lupakah (memang tidak ingat), semasa kita kecil, kita menjerit sesuka hati, memalukan ibu bapa di tengah kenduri? Kita pecahkan pinggan orang, kita curi barang orang, kita kencing dan berak sesuka hati, kita demam tidak bermusim. Bukan kita seorang, malah adik beradik yang lain. Jika seorang ibu dan seorang bapa, tiada naluri kasih sayang, patah riuk tulang kita dikerjakan mereka. Penat bekerja, tidur entah di mana, bergolok gadai mencari bekal, apakah semuanya semata-mata untuk membesarkan seorang pembenci?
Kita ada ramai kawan, tetapi kita hanya ada seorang ibu dan seorang bapa. Busuk wangi, buruk dan baik, itulah ibu dan itulah bapa.

Pernah suatu ketika, seorang lelaki datang kepada Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu, memberitahunya bahawa ibu lelaki itu menyuruhnya mentalakkan sang isteri. Lalu Abu Darda’ berkata, aku telah mendengar bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda:

“Ibu bapa adalah pintu Syurga yang paling tengah. Terserahlah kepada kamu sama ada mahu mensesia-siakan pintu itu atau memeliharanya” (Hadith sahih riwayat Ahmad, al-Tirmidhi dan Ibn Majah)

Biar pun sandaran dalil Abu Darda’ terhadap soalan lelaki tersebut kepada hadith ini ada perbahasan ulama’ mengenainya, namun persoalan yang terus kekal, Allah menyediakan pintu syurga bukan di tangan kawan yang paling kamceng, atau kekasih yang sejati itu.

Pintu masuk ke syurga yang paling utama, adalah pada memenuhi hubungan kita dengan ibu, juga dengan bapa.


SALAH IBU BAPA

Saya tidak nafikan, bahawa fenomena anak durhaka adalah produk dosa ibu bapa. Kesalahan ibu bapa merupakan faktor terbesar kepada keberhasilan anak durhaka. Malah sejak sekian lama, kita kaum Melayu sudah disedarkan bahawa Sazali adalah produk kesalahan si bapa menterjemahkan kasih sayang sebagai ‘beri semua yang anak inginkan’.

Memang malang di dunia ini bukan malang kerana tidak disayangi. Tetapi malang kerana gagal menyayangi. Sama ada tidak sayang kepada anak-anak, atau menyayangi mereka dengan cara yang salah.
Sudah terlalu biasa, ceramah saya tentang ibu bapa terpaksa diubah suai. Menekan-nekan akan kepentingan anak menghormati dan menjaga ibu bapa, menjadi sebuah sesi yang penuh penyeksaan, kepada si anak yang membenci ibu bapa. Kebanyakannya, adalah akibat sikap ibu bapa sendiri.

DI PIHAK ANAK-ANAK

Tetapi anak-anak perlu sedar, Allah SWT tidak mewajibkan seorang anak untuk menyayangi ibu dan bapa!
Kasih sayang itu adalah perasaan yang mustahil boleh dipaksa tanpa asasnya. Mana mungkin seorang anak yang dibuang, diabai, disisih, dipinggir malah didera oleh ibu bapa, mampu untuk membuta tuli memaksa diri menyayangi orang yang tidak menyayangi mereka.

Sebaliknya Allah SWT meletakkan kewajipan kita sebagai anak-anak, adalah pada berlaku ihsan, berbuat baik dan menghormati ibu bapa. Ia bukan balasan kebaikan ibu bapa kepada kita, tetapi ia adalah tanggungjawab dan kewajipan kita sebagai anak, biar bagaimana sekali pun si ibu dan si bapa.
Baik kejam seorang bapa.
Biar cuai seorang ibu.
Mahu pun busuk seorang bapa.
Biar kafir atau sundal sekali pun seorang ibu.
Bukan anak yang bertindak menghukum mereka.

Segala dosa ibu bapa, kecuaian mereka, dan serba serbi kesalahan dan kekurangan mereka, ibu bapa itulah yang akan bersoal jawab dengan Allah tentang tanggungjawab dan peranan mereka terhadap kita.
Namun bagi seorang anak, tugas kita adalah untuk tetap menghormati, menjaga kebajikan, memelihara dan memenuhi keperluan mereka tatkala mereka dalam hajat yang diwajarkan Syariat.

Jika dunia ini hanya ada anak dan ibu bapa, mungkin kitaran ini tidak dapat berhenti. Ibu bapa jahat menzalimi anak. Si anak juga jahat dengan membalas dendam kepada anak-anak. Kerana itu titik memahami isu ini ialah dengan kembali merujuk kepada DIA. Kepada Allah yang menjadikan mati dan hidup ini sebagai ujian.

Kita memohon keampunan dari Allah dengan mendoakan keampunan untuk ibu bapa. Tujuannya adalah berbalik kepada CINTA TANPA SYARAT. Sebagaimana ibu bapa mengasihi kita tanpa syarat, begitulah kita memohon agar dikasihani Allah ke atas diri ini TANPA SYARAT. Namun bagi ibu bapa yang gagal mengasihi si anak, kita harus berbalik merujuk kepada Allah. Kitalah pula yang mesti memberi MAAF TANPA SYARAT sebagaimana Allah boleh mengampunkan kita tanpa syarat. Jika sikap kita yang sempit jiwa untuk menguzurkan kekurangan ibu bapa, yakinilah bahawa Allah jua sulit untuk menguzurkan kekurangan kita (yang tidak terbilang itu).

Menghormati mereka, cukup dengan tidak membalas ‘kejahatan’ mereka dengan ‘kejahatan’ kita. Sedang kita pun banyak berbuat jahat kepada Allah, namun Allah sentiasa Maha Tahu cara untuk ‘berbuat baik’ dengan kita. Bagaimana kita boleh mendamba keampunan Allah tanpa syarat, sedangkan kita ghairah meletakkan pelbagai syarat, terhadap ibu bapa sendiri?

ANDAI TIADA KASIH DAN SAYANG

Kewajipan si anak adalah pada mengekalkan perlakuan baik terhadap ibu bapanya. Bukan bergantung kepada layanan ibu bapanya dahulu, tetapi ialah adalah tanggungjawab anak sebagai seorang anak yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Untuk menyayangi ibu bapa, terpulang kepada anda.

Namun…

Melaksanakan kewajipan tanpa nilai dan kasih sayang adalah suatu beban. Berat tanggungjawab tanpa kasih sayang, adalah maksud malangnya diri yang gagal menyayangi.
Suatu ketika Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu dan beberapa orang sahabat melihat seorang perempuan mendukung seorang lelaki tua. Lalu beliau bertanya kepada perempuan itu, “apakah perihalnya kamu ini?”
Perempuan itu menjawab, “yang kudukung ini adalah ayahku. Dia sudah tua (nyanyuk) dan mahu bermain denganku”

Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu teruja dengan kejadian itu lalu berkata, “wahai sahabat, lihatlah perempuan ini. Beliau telah menunaikan hak bapanya ke atas dirinya”
Perempuan itu membalas, “tidak ya Amir al-Mu’minin. Aku belum menunaikan hak bapaku ke atas diriku. Semasa dia menjagaku ketika aku kecil, dia mendoakan panjang umurku. Tetapi semasa aku menjaganya ketika dia tua, aku tertanya-tanya bilakah orang tua ini akan mati!”
Binasalah si anak yang lupakan peringatan ini!






Monday, July 2, 2012

بسم الله الرحمن الرحيم
[1] Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[2] Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

[3] Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[4] Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

[5] Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

[6] Tunjukilah kami jalan yang lurus.

[7] Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Kelebihan Bulan Syaaban
Pengertian Syaaban: Kemuliaan, Ketinggian,
Kebajikan, Cahaya.

Sabda Nabi S.A.W. :
“Apabila masuk Syaaban, baikkanlah niatmu padaNya,
Kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan
seperti kelebihanku atas kamu.”
Diriwayatkan oleh Umamah Al-Bahili r.a.

Saiditina Aisyah berkata:
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah S.A.W.
menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan
bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat
baginda memperbanyakkan berpuasa
sepertimana bulan Syaaban.”
(HR Bukhari dan Muslim)

Berkata Siti Aisyah r.a, bulan yang lebih dikasihi oleh
Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.
Sabda baginda: ”Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan
adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan
dosa (jasmani dan rohani).”

Sabda Rasulullah s.a.w: ”Bahawa kelebihan Rejab
atas bulan-bulan yang lainnya seperti
kelebihan Qur’an atas segala kalam.
Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lainnya
seperti kelebihanku atas segala Anbia’ (Nabi-nabi).
Kelebihan Ramadan atas bulan-bulan yang lain
seperti kelebihan Allah atas sekelian makhlukNya.”

Sabda Rasulullah s.a.w lagi: ”Dinamakan Syaaban
kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak,
dan puasa yang lebih afdhal sesudah Ramadhan
ialah puasa bulan Syaaban.”
Barangsiapa yang berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka.
Jika dia menyempurnakan puasanya sebulan
di bulan Syaaban, dipermudahkan Allah s.w.t
ke atasnya Sakarotulmaut dan ditolakkan (terlepas)
daripadanya kegelapan di dalam kubur,
dilepaskan daripada hura-hara Munkar dan Nakir,
ditutup oleh Allah s.w.t dari keaibannya di hari kiamat
dan diwajibkan syurga baginya.
Barangsiapa berpuasa pada awal hari Khamis
pada bulan Syaaban dan akhir khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga.
(Dari kitab Al-Barakah).


Sabda Rasulullah s.a.w:
“Bahawa puasa Syabaan kerana membesarkan Ramadhan.
Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Syaaban,
kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali
sebelum berbuka puasa maka diampunkan oleh Allah
dosanya yang telah lalu, diberkati rezeki baginya”
Sabda baginda lagi: ”Bahawa Allah Ta’ala membukakan
pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.”

Bulan Syaaban, keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya.
Dari Yahya ibni Abi Khasir, dari Irwah dari Aisyah r.a,
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud,
“Jibril telah mendatangi aku dan berkata:
Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban.
Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hambaNya
dari siksaan Api Neraka seramai bilangan kambing
Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan.
  
Pada malam itu Allah tidak menoleh (tidak mengampuni)
kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba
(batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka kepada
kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”.
Hadis riwayat Ibnu Majah, Imam Ahmad, Al-Tarmizi.
dan Al-Baihaqi.

Dari Abu Hurairah ra. berkata bahawa kekasihku (Nabi saw)
telah mewasiatkan kepadaku 3 perkara (iaitu) :
"(Hendaklah) berpuasa 3 hari setiap bulan (13, 14 dan 15hb),
2 rakaat Dhuha dan Solat Witir sebelum tidur ”.
Hadis Sahih No. 60 riwayat Imam Al-Bukhari.

Rasulullah bersabda :
Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Syaaban, dimudahkan Allah ke atasnya Sakrotulmaut dan
ditolakkan daripadanya kegelapan di dalam kubur,
dilepaskan dari huru hara Munkar dan Nakir,
ditutupkan Allah keaibannya di hari Qiamat dan
diwajibkan syurga baginya.
Barangsiapa berpuasa pada awal hari Khamis dan
Khamis terakhir pada bulan Syaaban,
dimasukkan dia ke dalam syurga.


Sesiapa sembahyang pada malam Nisfu Syaaban
daripada Umat Muhammad S.A.W terlebih afdal
daripada ibadatnya 400 tahun.
Demikian Allah memberitahu kepada Nabi Isa,
lalu Nabi Isa pun berdoa kepada Allah,

“ Mudah-mudahan aku daripada Umat  Muhammad S.A.W.”

Selamat Beramal !!!!!

Kerdit untuk : http://ammy11.blogspot.com/2012/06/kelebihan-bulan-syaaban.html