Bismillahirrahmanirrahim.....
Tercoret tinta ini memadahkan rahsia
qalbu. Hati...tidak siapa tahu. Tidak siapa mengerti, disimpan juga
tidak membawa makna. Kepada yang Haq ia berbicara. Melagukan bicara yang
terkadang sumbang lakunya. Bicara pada manusia juga tidak mengurang
resah.
HIDUP ini adalah suatu perjalanan. Penuh erti, penuh
ranjau, penuh duri... Namun bukan sakit tertusuk duri itu yang penting
tetapi nikmatnya apabila duri itu tercabut dari daging. Bagaimana ia
dikeluarkan juga betapa ianya penting. Sakit, meraung... tetapi jangan
berhenti mengeluarkannya. Kelak menjadi bisa yang tidak terawat. Dan
setelah itu bersyukurlah dengan segala kehendakNya. Sakit tertusuk duri
itu mungkin sahaja penyucian kifarah yang dilakukan. Mungkin juga mehnah
dari Yang Esa untuk mendidik hati bertabah serta mensyukuri setiap
kejadian tanpa keluhan.
UJIAN... Jika ujian di bangku sekolah dapat jua
dihafal formula-formula untuk melaluinya. Namun yang bernama ujian hidup
adalah yang datang tanpa salam, tanpa diundang. Datangnya dengan
kehendak Ilahi yang mahukan manusia memaknakan kehidupan dengan
menggunakan akal berbataskan keimanan. Demikianlah didikan Allah.
Memanusiakan seorang manusia!
CINTA... Manusia dihidupkan atas cinta. Cinta itu
meluas. Cinta kepada Allah, kepada Rasul, kepada ibu bapa, kepada suami,
kepada isteri, kepada sahabat. Malangnya cinta yang pernah dijumpai
telah disempitkan dan tersepit oleh kurangnya faqih akan hakikat cinta.
Cinta itu setia, jujur, kasih sayang, rindu, doa kebahagiaan. Benihlah
cinta yang meniti atas dasar iman. Akan redhalah Allah pada cinta itu.
Namun sayang seribu kali sayang, cinta itu tercalar keluhurannya.
Terselit pengkhianatan, ketidakjujuran... dan akhirnya perpisahan...
Yang meninggalkan mencari pengganti. Segala janji terlupus begitu
sahaja. Ingatlah bahawa roda kehidupan ini sentiasa berputar. Hari ini
kita mengkhianati. Esok mungkin kita dikhianati. Hari ini kita mencipta
luka di hati yang lain, mungkin esok hati kita pula yang terluka.
SABAR... Bukan mudah untuk memahami erti sabar
apatah lagi untuk melakukannya. Saat derita menjengah rasa, seakan kita
sahajalah yang derita. Kita sahajalah yang terluka. Duka itu milik kita.
Sedih itu juga milik kita, sehingga kita terlupa untuk mensyukuri
nikmat Allah yg lainnya. Nikmat Allah yang begitu melimpah ruah jarang
disyukuri tetapi bila didatangkan ujian, melaralah sekeping hati. Itu
sahaja yang diingat-ingatkan. Demikianlah resam insani.
REDHA... Tidak diuji hambaNya dengan ujian yang
tidak mampu ditanggung. Rebah, jatuh dan terduduk, semuanya mengajar
kita untuk bangkit kembali. Sedang walangnya hati tertanya bagaimana
untuk bangun?? Ya... hanya kekuatan sahaja yang mampu menarik... Maka
yang bangun itu bukanlah diri yang lemah. Yang bangun itu adalah jiwa
yang kuat. Redha itu adalah menerima dengan lapang dada biarpun tangisan
menitis tanpa hentinya namun bertahanlah. Tangisan itu tidak apa-apa
malahan menunjukkan kita hanyalah hambaNya yang lemah. Serahkan segala
urusan pada Dia.
SYUKUR... Alhamdulillah segala pujian hanya
selayaknya untuk Allah. Hari semalam yang berlalu, biarkanlah. hari ini
yang dilalui, nikmatilah. Hari esok bakal tiba, bersedialah. Allah
sentiasa memberi yang terbaik untuk hambaNya, maka kita sebagai hambaNya
berkejaran lah mencari yang terbaik itu dengan segala usaha dan
bermacam cara yang diredhaiNya. "Fastabiqul khairat" pesanNya.
Jika berlari itu kemudiannya jatuh maka bangkitlah kembali. Tidak
mengapa jika tidak ada tangan yang menghulur bantuan kerana ada 'tangan'
yang lebih membahagiakan. Letaklah kebergantungan kepada Allah SWT.
Semoga hidup sentiasa diberkati dan dibimbing untuk mencari wangian
Jannah.
Semoga beroleh kebahagian dalam mencari warna cinta Ilahi.
Semoga beroleh kebahagian dalam mencari warna cinta Ilahi.
Raden Putri hanya seorangg hamba yang sedang berusaha agar istiqamah di dalam sebuah pencarian (kebenaran).
No comments:
Post a Comment